Penawar Poket Kempis

Posted on 26 September 2017 by zualliz

Penawar poket kempis ini dikongsi di dalam buku bertajuk The Richest Man In Babylon. Bagaimana menjadikan poket sentiasa kembung dan tidak kempis.

1. Kumpul wang. Bagi setiap 10 keping syiling yang masuk, guna hanya 9 keping. Simpan 1 keping.

1/10 bersamaan 10% dari gaji kita. Bukankah itu yang disarankan oleh pakar kewangan? Jika menyimpan duit selalu bocor, boleh cuba simpan emas. Confirm kalis bocor.

2. Kawal perbelanjaan. Bezakan kehendak dan keperluan. Kehendak tidak terbatas.

Jika semua gaji dibelanjakan untuk memenuhi kehendak, memang tidak mencukupi. Sedangkan kehendak tidak terbatas. Wang dan masa yang dimiliki adalah terbatas dan terhad. Di sini, perlunya mengetahui apa itu kehendak dan apa itu keperluan.

Keperluan adalah apa yang diperlukan untuk hidup, terutamanya tempat tinggal, makanan dan pakaian. Kehendak adalah apa yang kita hendak untuk menyempurnakan hidup. Keperluan adalah asas, kehendak adalah tambahan.

Membeli Proton Saga adalah keperluan, membeli Toyota Vios adalah kehendak. Minum kopi adalah keperluan, minum kopi Starbuck adalah kehendak.

3. Gandakan wang. Jadikan wang bekerja supaya ia menghasilkan lebih banyak wang.

Simpan dan laburkan. Tetapi pastikan cukup dulu simpanan kecemasan yang berjumlah 6 bulan gaji. Kemudian simpanan 10% setiap bulan boleh dilaburkan supaya wang dapat bekerja untuk kita.

Labur duit dalam ilmu dahulu. Cari mentor, hadiri seminar dan baca buku. Pelaburan terbaik adalah pelaburan untuk diri sendiri; tambah ilmu.

4. Pelihara harta daripada kerugian. Nak join sesuatu skim @ pelaburan, semak dahulu pelaburan tersebut. Jangan biarkan harta yang dikumpulkan sekian lama, hilang oleh kerana ketamakan kita sendiri; mahu harta cepat berkembang & tidak berilmu.

Ambil masa mengkaji dan meneliti dahulu. Tambahkan ilmu dan jangan terlalu cepat dengan cakap-cakap orang.

Nasihat yang percuma selalunya bahaya, dan mereka yang beria-ia mengajak anda join, selalunya tidak berilmu @ mereka sendiri mahu duit anda. Berhati-hati!

 

5. Miliki rumah sendiri. Ia dapat mengurangkan kos-kos lain.

Dengan memiliki rumah sendiri, ia dapat menjimatkan kos jangka panjang. Ansuran bulanan yang dibayar kepada bank akan mengurangkan hutang dan meningkatkan pemilikan kita terhadap rumah tersebut.

Pakar hartanah menyarankan agar ansuran bulanan bagi rumah yang kita duduki dipendekkan dan dilangsaikan secepat mungkin. Bagi rumah yang disewakan, tempoh pinjaman dipanjangkan selama mungkin agar ansuran bulanan menjadi rendah kerana dibayar oleh penyewa.

6. Jamin pendapatan masa depan. Bersedia untuk keperluan hari tua dan perlindungan keluarga.

Lindungi keluarga kita dengan caruman insuran/takaful setiap bulan. Supaya mereka menerima pampasan dari kecacatan kekal atau kematian pencari nafkah utama dalam keluarga tersebut. Jika kita terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kita cacat kekal, ditimpa penyakit kritikal atau meninggal tiba-tiba, sumber pendapatan sudah pasti terhenti dan duit simpanan yang ada terpaksa digunakan untuk kos rawatan dan belanja bulanan.

Lindungi pencari nafkah yang utama dalam keluarga, terutama jika hanya suami yang bekerja.

Ambil insurans/takaful bagi rumah yang diduduki serta kereta dan motor yang digunakan.

7. Tingkatkan keupayaan memperolehi pendapatan. Banyakkan membaca serta tambahkan ilmu dan kemahiran.

Sentiasa UPGRADE diri dengan mempelajari perkara baru. Banyakkan membaca buku, terutama buku motivasi, kewangan dan perniagaan. Hadiri seminar yang berkaitan dengan kerjaya. Apabila ilmu meningkat, selalunya gaji turut meningkat. Pihak atasan akan memberikan gaji yang lebih.

Jika tempat kerja sekarang menghalang untuk gaji yang lebih tinggi, cuba cari peluang di tempat kerja lain. Sebelum itu, cuba pohon kenaikan gaji dengan bos dulu. Ajukan apa yang kita boleh buat untuk mengurangkan kos organisasi dan meningkatkan keuntungan syarikat kita.

Leave a Reply

Advertise Here
Advertise Here